Latar Belakang Inforia Murut
Monday 25 September 2017

Inforia Murut di Radio Malaysia Keningaufm

 

INFORIA MURUT DI RADIO MALAYSIA KENINGAUFM

 

(Dari kiri DJ Betty, DJ Loy, DJ Hakie dan DJ Mumun)

Latar Belakang Inforia Murut:

Rancangan Inforia Murut yang ada di Radio Malaysia Keningaufm tidak pernah mengecewakan pendengar yang suka mendengar siaran radio dalam Bahasa Murut. Rancangan ini sentiasa bersiaran setiap hari bermula 12.00 tengah hari sehingga pukul 2.00 petang tanpa gagal selama dua (2) jam. Rancangan ini mula disiarkan pada 1 Januari 2009, tarikh sama Radio Malaysia Keningaufm mula ditubuhkan di Keningau, Sabah.

Setiap rancangan yang ada di Radio Malaysia Keningaufm dikendalikan oleh empat (4) orang penerbit rancangan yang lebih dikenali sebagai ‘DJ’ atau Disc Jockey. Mereka ini ialah Munis Haji Ismail (DJ Hakie), Dullis Saimon (DJ Loy), Betterya Ahubol (DJ Betty) dan akhir sekali Municca Kiat (DJ Mumun). Bagi pihak Keningaufm ingin sekali kami berkongsi sedikit maklumat kepada peminat Inforia Murut mengenai para DJ siaran Bahasa Murut ini. 

Sedikit profil mengenai Munis Haji Ismail yang lahir pada 12 Ogos 1961, merupakan anak kelahiran Tenom. Beliau merupakan seorang suami dan bapa kepada lima (5) orang anak. Sedikit pengalaman bekerja beliau ialah Munis Haji Ismail pernah berkhidmat sebagai seorang pegawai Polis PDRM pada tahun 1982 sehingga 1988. Setelah itu beliau mula berjinak-jinak dalam bidang penyiaran RTM pada tahun 1994 sehinggalah sekarang. Sedikit sejarah beliau mengenai bidang pekerjaan ini sudah menjangkau lebih dari 20 tahun. Beliau mula menyertai Keningaufm sejak awal penubuhan stesen radio ini pada 1 Januari 2009 lagi.

Beliau merupakan senior dalam kalangan staf yang lain. DJ Hakie gelaran yang selalu digunakan oleh Munis Haji Ismail ini. Ketika ditanya media mengenai sebab memilih gelaran Hakie, beliau menjawab dengan senyuman “Ianya kerana Hakie dalam bahasa Dusun dan Murut ialah bapa kepada bapa ialah atuk”.

Seterusnya, apabila ditanya mengenai Inforia Murut ini, beliau berkata “Inforia Murut berbeza dengan rancangan yang ada pada stesen radio Sabah Vfm dan juga Sabahfm Kota Kinabalu, hal ini kerana Inforia Murut mempunyai 11 rancangan yang berbeza” Keterangan beliau mengenai rancangan tersebut berdasarkan jadual di bawah.

Terdapat 12 buah Rancangan didalam rancangan Inforia Murut. Antaranya:

 

NO.

NAMA RANCANGAN

HARI

MASA

1

Kaintutunan Taka (Untuk Pengetahuan Kita)

Isnin

1.10pm

2

Kaulihi Kampung Taka (Kenali Kampung Kita)

Isnin

1.40pm

3

Inatangan Tayar Ruandu (Rancangan Wanita)

Selasa

1.10pm

4

Tuu Bahu Am Sukan (Rancangan Belia Dan Sukan)

Selasa

1.40pm

5

Tambului / Pansunuran (Tetamu)

Rabu

1.10pm

6

Inatangan Kaulayan (Rancangan Kebudayaan)

Khamis

1.10pm

7

Hidayah

Jumaat

Selepas azan Zohor

8

Sungait (Teka-Teki)

Jumaat

1.10pm

9

Inatangan Tayar Nu Lalaing (Rancangan Kanak-Kanak)

Sabtu

1.10pm

10

Carta Rimbai Nu Murut (Carta Rimbai Lagu Murut)

Ahad

1.10pm

11

Pakitakan Ra Rimbai Orou Minggu (Permintaan Lagu Hujung Minggu)

Ahad

1.40pm

 

Menurut Munis Haji Ismail juga, “Tiada batasan umur bagi yang ingin mendengar Inforia Murut di stesen Radio Malaysia Keningaufm.”

Beliau menambah, “Kami di sini juga turut memberikan peluang kepada penduduk untuk menghantar lagu mereka untuk disiarkan di dalam rancangan Inforia Murut sekiranya lagu mereka mengikut syarat yang telah ditetapkan oleh Keningaufm itu sendiri”. Hal ini dapat memudahkan masyarakat juga individu yang bercita-cita untuk menjadi seorang ahli seni dalam industri kesenian ini.

“Lagu yang dicipta mestilah lagu yang telah dibuat sendiri dan tidak menciplak atau meniru mana-mana lagu. Hal ini kerana kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya menyokong barangan buatan Malaysia terutama hasil bumiputera itu sendiri dan tidak melanggar hak cipta yang sedia ada.” Katanya lagi.

Inforia Murut seperti rancangan lain juga menyiarkan berita-berita yang terbaru, rancangan yang disiarkan juga adalah secara langsung. Selain itu, “Kami juga turut berinteraksi bersama dengan pendengar setia melalui panggilan telefon dan juga melaui pesanan kiriman SMS dan juga Facebook Keningaufm.” Turut menjadi keistimewaan Inforia Murut ialah tiada bahasa lain dituturkan sepanjang siaran secara langsung.

Bukan itu sahaja “Kami juga turut membantu menyampaikan maklumat ahli keluarga yang ingin menyampaikan pesanan sama ada untuk perkhabaran mengenai perkahwinan mahupun berita kematian ahli keluarga tersebut didalam “Berita keluarga” Tambah Munis Haji Ismail.

Dj Hakie juga turut menjelaskan bahawa, “dengan adanya bahasa Murut disiarkan di dalam Radio Malaysia Keningaufm ini secara tidak langsung dapat mengembangkan lagi bahasa Ibunda ini.”

Ketika ditanya media dengan siapa Dj Hakie ini lebih senang untuk digandingkan semasa bekerja ialah beliau lebih gemar bekerja bersama dengan semua penerbit rancangan Inforia Murut ini. Beliau juga memberitahu media bahawa ketika bertugas bersama dengan penerbit rancangan yang lain, Dj Hakie dapat berkongsi pengalaman dan nasihat bukan sahaja kepada penerbit rancangan yang lain tetapi juga kepada pendengar setia Inforia Murut.

Dj Hakie juga kongsikan bersama dengan media bahawa beliau ingin meneruskan bidang kerjaya sebagai seorang usahawan berjaya apabila sudah pencen kelak.

Sebelum berakhirnya perkongsian bersama dengan Dj Hakie, beliau sempat untuk berpesan kepada para pendengar dan pembaca bahawa ketika ingin melakukan sesuatu pekerjaan, hendaklah pekerjaan itu dilakukan dengan penuh minat supaya hasilnya nanti memuaskan diri sendiri serta buat remaja di luar sana janganlah terlibat dengan gejalah sosial dan mensia-siakan hidup yang masih muda.

Kini, beralihlah kita kepada profil penerbit rancangan Inforia Murut yang seterusnya iaitu Betterya Ahubol yang lebih dikenali sebagai DJ Betty. Betty yang lahir pada 11 Mei 1987 merupakan anak jati kelahiran Keningau ini masih lagi muda dan mempunyai banyak idea yang ingin dikongsikan dan dicetuskan di dalam rancangan Inforia Murut.

Ketika ditanya media mengenai kewajaran Inforia Murut di Radio Malaysia Keningaufm, beliau menjawab, “Inforia Murut sangat penting disiarkan khususnya buat yang berada di bahagian pedalaman. Hal ini kerana, majoriti suku Kaum yang ada di Keningau ialah suku Kaum Dusun dan juga Murut. Ianya juga sebagai penyalur maklumat buat yang berada jauh seperti di Kemabong, Tomani, Pegalungan dan juga kawasan pedalaman yang lain”.

“Inforia Murut ini perlu ada kerana masih ramai lagi anak muda sekarang ini yang tidak tahu untuk bertutur dalam bahasa ibunda mereka”. Tambah Betterya Ahubol.

Berkongsi mengenai Inforia Murut, Dj Betty menjelaskan sebelum ini terdapat Rancangan Kanak-kanak dalam bahasa Murut yang disiarkan di dalam stesen radio yang ada di Sabah sebelum ini namun terpaksa dihentikan atas sebab-sebab tertentu. Dj Betty berkata “Pandangan pendengar sangat positif mengenai rancangan kanak-kanak itu dan berharap Radio Malaysia Keningaufm pula yang dapat meneruskan rancangan tersebut.”

Dj Betty turut berkongsi bersama dengan media bahawa, “Rancangan Kanak-kanak bakal dilaksanakan tahun depan dan masih lagi dalam perancangan sekarang”.

Rancangan kanak-kanak yang dikatakan sebelum ini adalah berbayar membuatkan Dj Betty beranggapan bahawa “Pendidikan itu sepatutnya diberikan secara percuma dan kita tidak mahu didik kanak-kanak masa kini bahawa setiap perkara yang ingin dilakukan berdasarkan dengan bayaran”. Katanya lagi.

Dj Betty yang tidak kisah jika digandingkan dengan penerbit rancangan lain, namun tetap mengatakan bahawa beliau lebih senang untuk digandingkan bersama dengan Municca Kiat yang juga lebih dikenali sebagai Dj Mumun kerana lebih banyak “chemistry” di antara mereka.

Ketika media bertanyakan mengenai pengalaman bekerja sebelum menceburi diri dalam bidang penyiaran, DJ Betty sebelum ini pernah bekerja sebagai promoter di The Stor Kuala Lumpur, Ampang selama setahun pada tahun 2005 dan beliau kemudiannya mula memasuki Radio Malaysia Keningaufm pada hujung tahun 2012 dan meneruskan khidmat sebagai penerbit rancangan sehinggalah kini.

Ketika ditanya oleh media mengenai apa yang ingin dilakukan untuk masa hadapan, DJ Betty berkata beliau ingin meneruskan dengan bidang kerjaya sebagai seorang usahawan kerana minat dalam bidang pekerjaan tersebut. Bidang keusahawanan yang dilakukan adalah dalam perusahaan pakaian dan beliau juga ingin meneruskan minat beliau dengan harapan dapat membuka sebuah mini market untuk perusahaan yang dilakukan.

DJ Betty juga turut berkongsi mengenai DJ Hakie dimana beliau merupakan seorang yang suka untuk memberikan nasihat dan sekiranya ada masalah yang berlaku mereka bolehlah sentiasa merujuk kepada beliau kerana beliau merupakan orang yang telah lama berada dalam bidang ini.

Sebelum menamatkan perbualan bersama dengan media, DJ Betty sempat berpesan kepada remaja masa kini bahawa “Jangan berputus asa dengan apa pun yang dilakukan kerana gagal sekali bukan bermakna gagal selamanya, orang yang positif dan gagal dijadikan sebagai batu loncatan untuk lebih berjaya dan setiap yang berjaya pernah menempuh kegagalan”.

Media sempat bertemu dengan ahli penerbit rancangan Inforia Murut yang lain iaitu Dullis Saimon yang lebih suka dipanggil sebagai DJ Loy. Melalui pengamatan media, DJ Loy seorang yang suka bergurau dan sangat peramah semasa ditemu ramah. Ditanyakan mengenai kenapa memilih nama Loy, beliau menjawab kerana nama itu kedengaran manja dan “cute”.

DJ Loy yang lahir pada 18 Julai 1983 merupakan anak jati Tenom dan masih lagi berstatus bujang ini memberitahu kepada media bahawa beliau mula berkecimpung dalam bidang untuk menjadi penerbit rancangan sejak 1 Oktober 2010 di Radio Malaysia Keningaufm. Sebelum memulakan kerjaya sebagai penerbit rancangan DJ Loy pernah berkerja di Kota Kinabalu International Airport (KKIA) pada tahun 2002 dan juga di Club Permata Keningau.

Media sempat juga berkongsikan mengenai pendapat DJ Loy mengenai Inforia Murut di Radio Malaysia Keningaufm dan beliau mengatakan bahawa “Rancangan siaran bahasa Murut itu sangat istimewa dimana para pendengar dapat mempelajari bahasa Murut dan rancangan itu perlu ada di Keningaufm kerana Keningau merupakan daerah yang mempunyai pelbagai etnik”

Tambahan beliau lagi, “Rancangan Inforia Murut mempunyai keistimewaan yang tersendiri kerana rancangan ini penuh dengan info-info mengenai kebudayaan penduduk setempat serta memberi pengetahuan untuk dijadikan perkongsian kepada para pendengar.” Dullis Saimon.

DJ Loy juga memberitahu kepada media bahawa beliau selesa berkerja bersama-sama sekiranya digandingkan dengan penerbit rancangan Inforia Murut yang lain kerana bagi beliau ianya menjadikan sesuatu pekerjaan itu lebih mudah dan lebih meriah.

Menjadi penerbit rancangan menjadi minat kepada DJ Loy namun begitu beliau juga turut menjadi ‘Emcee’ ataupun hos sekiranya dijemput ke sesebuah majlis tidak kiralah majlis itu berkonsepkan formal atau tidak formal. Baginya itu boleh menambah pengetahuan dan pengalaman dalam bidang yang sedang diceburi sekarang.

Media juga turut bertanya sekranya DJ Loy akan tetap meneruskan bidang sebagai penerbit rancangan dan beliau berkata kepada media “Saya akan tetap meneruskan kerjaya sebagai penerbit rancangan namun saya juga ingin menempuh bidang keusahawanan kerana bidang keusahawanan sememangnya akan memberi banyak pengalaman dan keuntungan”

DJ Loy juga turut berkongsi kepada media bahawa “Setiap penerbit rancangan Inforia Murut sangat berbakat dan DJ Hakie banyak memberi tunjuk ajar bagi kami yang masih baru dalam bidang ini kerana DJ Hakie adalah orang lama dan sangat berpengalaman, beliau akan memenuhi kehendak dan citarasa pendengar namun mengikut kesesuaian Inforia Murut juga”.

Menurut Dullis Saimon, “Bagi saya DJ Betty dan DJ Mumun mempunyai kelebihan dan keistimewaan mereka yang tersendiri”.

Sebelum mengakhiri temubual bersama media, DJ Loy meninggalkan pesan kepada remaja masa kini bahawa “Golongan muda perlu lebih mementingkan keperluan untuk masa hadapan berbanding keseronokkan duniawi, selain itu mereka juga perlu mendalami ajaran agama masing-masing sebagai panduan hidup agar tidak terpesong dan tidak terjebak dengan gejala-gejala yang tidak baik.”

Akhir sekali, Municca Kiat yang lebih dikenali umum sebagai DJ Mumun ini merupakan DJ termuda di Radio Malaysia Keningaufm yang lahir pada 15 Jun 1992. Anak gadis kelahiran Keningau ini sangat gemarkan ayam goreng dan suka menghabiskan masa dengan melakukan aktiviti yang boleh menyihatkan badan seperti melakukan senaman aerobik.

Ketika ditanya kenapa Inforia Murut ini istimewa dan perlu kekal di Radio Malaysia Keningaufm, beliau berkata “ Inforia Murut dapat mengekalkan bahasa Ibunda bagi mereka yang berbangsa Murut, ini juga dapat memartabatkan etnik Sabah kerana masih terdapat anak jati Sabah yang tidak dapat berkomunikasi dalam bahasa Ibunda mereka sendiri”

Tambahan beliau lagi, “Ianya sebagai langkah untuk mengelakkan daripada bahasa itu tenggelam”. Munica Kiat.

Melalui pengamatan media, DJ Mumun sangat periang dan suka tersenyum dan mudah bergaul dengan sesiapa pun. DJ Mumun juga memberitahu kepada media bahawa “Saya lebih selesa untuk digandingkan bersama dengan DJ Betty kerana semasa berkerja dengan DJ Betty lebih ‘enjoy’ dan juga lebih ‘chemistry’ ketika bertugas bersama”

DJ Mumun juga pernah berkerja sebagai kerani sebelum memulakan kerjaya sebagai penerbit rancangan untuk Inforia Murut selama setahun bermula 2012 sehingga 2013. Media juga mendapat tahu daripada DJ Mumun bahawa beliau sangat gemar dengan aktiviti yang melibatkan sukan lasak dan aktiviti futsal aerobik dan aktiviti-aktiviti lain yang melibatkan pertandingan sukan.

Selain itu, DJ Mumun juga berkongsi kepada media bahawa beliau ingin meneruskan bidang kerjaya sebagai penerbit rancangan ini dan meneruskan dengan aktiviti yang giat dilakukan bersama dengan golongan remaja yang lain kerana dengan ini beliau boleh memberi inspirasi kepada remaja yang lain untuk tidak melakukan aktiviti yang boleh mendatangkan kerugian kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan seterusnya kepada negara.

Sebelum mengakhiri perbualan bersama dengan media, DJ Mumun memberi pesan kepada remaja untuk teruskan berusaha dengan apa yang dilakukan, jangan sekali-kali berputus asa. “Ingat itu usahaku, bukan keluhanku”. Inilah kata-kata yang menjadi pendorong kepada diri DJ Mumun dan ingin dikongsikan kepada remaja di luar sana. Kata-kata ini merupakan sebab untuk lebih maju ke hadapan dan diharapkan remaja dapat menjadikannya sebagai suatu usaha dan bukan menukarkannya menjadi sebuah keluhan.

Inforia Murut mempunyai kelebihan tersendiri sama dengan siaran-siaran lain yang ada di Radio Malaysia Keningaufm. Diharapkan pendengar dapat terus setia bersama dengan Inforia Murut dan dapat memberi sokongan padu kepada Stesen Radio pertama di Keningau ini.

                                 

(DJ Betty)

 

(DJ Loy)

 

(DJ Hakie)

 

(DJ Mumun)