Hala Tuju Radio Malaysia Keningaufm 2015
Thursday 23 November 2017

Hala Tuju Radio Malaysia Keningaufm 2015

 

 

 

 

Hala tuju Radio Malaysia Keningaufm 2015

 

Tahun baru merupakan tahun yang sentiasa diraikan dengan meriah bersama dengan keluarga mahupun sahabat handai. Tahun baru 2015 kali ini diharapkan menjadi tahun yang lebih bermakna buat kita semua untuk merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Kepada mereka yang menanam hasrat untuk melaksanakan apa yang telah lama diimpikan pada tahun 2015, lakukannya dengan cemerlang dan jangan berputus asa sehingga dapat menggapai impian yang ingin dibina, juga bagi mereka yang ingin melakar azam baru di tahun yang bakal tiba tidak lama lagi diharapkan tidak berputus asa. Begitu juga dengan Radio Malaysia Keningaufm yang ingin melakarkan hala tuju baru bagi tahun 2015 yang sangat dinantikan dengan penuh debaran.

Bagi tahun 2015, Keningaufm dengan frekuensi radio 94.7 dan 98.4 megahertz akan terus memberikan penekanan kepada isu-isu yang melibatkan keselamatan sejagat contohnya perkara yang berkaitan dengan bencana alam seperti banjir kilat yang sering melanda Daerah Tenom, Keningau, Sook dan Nabawan.

Tambahan lagi untuk tahun 2015 ini, Keningaufm akan membuat liputan mengenai perkara-perkara yang berlaku di Pedalaman Sabah yang ada nilai sejagatnya akan terus dilaporkan di Nasionalfm, Berita TV dan juga Radio Tempatan yang lain.

Keningaufm akan tetap mengekalkan Rancangan Tonggak iaitu Keningaufm Jejak Masyarakat Radio di Lokasi dan carta lagu untuk tiga (3) siaran bahasa utama iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Dusun dan juga Bahasa Murut.

Untuk makluman buat peminat setia Radio Malaysia Keningaufm juga terdapat rancangan baru yang bakal disiarkan di Keningaufm untuk tahun 2015 seperti “Jadi Apa Macam (JAM)” yang bakal berlangsung setiap hari isnin pada pukul 7.00 pagi sehingga 10.00 pagi dan juga rancangan bertajuk “Bersama Kak Yon” setiap hari sabtu bermula pada jam 7.00 pagi sehingga 10.00 pagi bagi siaran bahasa Malaysia.

Rancangan baru seterusnya untuk siaran bahasa Dusun yang bertajuk “Minsingilo Koubusanan (Mengenali kebudayaan kita)” setiap hari rabu bermula jam 10.00 pagi sehingga 12.00 tengah hari. Manakala lagu nostalgia pula bakal berkumandang di corong radio Keningaufm bagi siaran bahasa Dusun dan juga bahasa Murut.

Namun begitu atas permintaan peminat setia Keningaufm juga rancangan lama “Dapur Keningaufm” akan ke udara semula dengan berwajah baru. Resepi-resepi baru akan dikongsikan buat pendengar-pendengar setia Keningaufm dan pendengar boleh mencuba sendiri resepi yang diberikan semasa mendengar rancangan “Dapur Keningaufm” ke udara.

Semoga tahun baru 2015 ini kita dapat menghadapi segala dugaan dan cabaran dengan baik dan tahun yang mendatang ini lebih baik dari tahun yang sebelumnya dan bermakna buat kita. Sebarkan kasih sayang buat semua keluarga dan sahabat kita dan juga semoga dapat menempah kejayaan bagi mereka yang berkerjaya dan bagi mereka yang baru bergelar graduasi semoga berjaya dalam menempuh bidang pekerjaan. Teruskan sokongan dan kesetiaan anda mendengar Radio Malaysia Keningaufm, Hebat, Syoknya!